Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Amir Hamzah menjawab persoalan berkaitan penjualan sahamsaham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh KWSP di Parlimen hari ini. Foto, Jabatan Penerangan Malaysia.

Dewan Rakyat: Tuduhan KWSP alami kerugian penjualan saham MAHB tidak benar

ByKuan Thai Far

KUALA LUMPUR, 20 Feb: Tuduhan bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengalami kerugian susulan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) adalah tidak berasas.

Menteri kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, tuduhan itu turut ditolak oleh KWSP menerusi kenyataan media pada 12 Februari lepas.

Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas Amir Hamzah, KWSP telah mencatatkan keuntungan daripada penjualan beli saham MAHB dan berjaya merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion bagi penyata kewangan berakhir 31 Disember 2023.

“(KWSP juga) telah berjaya mengisytiharkan dividen sebanyak 5.50 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Syariah.

“Secara keseluruhan, sejak 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB telah mencapai nilai RM650 juta,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Chong Zhemin (Pakatan Harapan -Kampar) yang meminta penjelasan mengenai jumlah keuntungan atau kerugian yang dialami oleh KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB dan bagaimana keuntungan atau kerugian ini dilaporkan dalam penyata kewangan KWSP.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, penjualan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai KWSP oleh Jabatan Ekuiti pada 2023 di Bursa Malaysia merupakan sebahagian daripada strategi dagangan aktif KWSP untuk memanfaatkan pergerakan harga saham dan menjana pendapatan pelaburan jangka pendek.

“Saham MAHB telah dijual pada harga antara RM 6.80 hingga RM 7.70 seunit, menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.

“Prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang dimuktamadkan pada tahun ini merupakan dua pelaburan yang berbeza, iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.

“KWSP mengamalkan proses tadbir urus yang tegas melalui protokol perintang maklumat  yang merupakan amalan piawaian standard dalam kalangan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan institusi kewangan.

“Di bawah protokol perintang maklumat, Jabatan Pelaburan Strategik (JPS) yang bertanggungjawab ke atas VGO MAHB ini adalah dilarang sama sekali daripada berkongsi maklumat sensitif dan bukan umum kepada Jabatan Ekuiti (IP),” katanya.

Tambah beliau, kawalan dalaman ketat yang telah diwujudkan dan dipraktikkan dengan penuh integriti oleh KWSP telah menyumbang kepada keteguhan KWSP sebagai sebuah institusi pelaburan yang disegani sepanjang hampir 75 tahun penubuhannya.

“Sebagai institusi pelabur terbesar di Malaysia, KWSP mengambil berat peranannya dalam menyumbang kepada kestabilan pasaran kewangan,” jelasnya lagi. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan