Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Fadillah menjawab pertanyaan berkaitan sokongan Kerajaan Persekutuan dalam peralihan tenaga di Sarawak. Foto, Jabatan Penerangan Malaysia/ Envato.

Dewan Rakyat: Kerajaan Persekutuan sokong aspirasi Sarawak capai matlamat peralihan tenaga

ByBong Yi Sien

KUALA LUMPUR, 20 Feb: Kerajaan Pusat menyokong aspirasi Kerajaan Sarawak untuk mencapai matlamat peralihan tenaga sektor bekalan elektrik, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini termasuk hasrat untuk meningkatkan kapasiti penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) kepada 15 gigawatt (GW) menjelang 2035 sekali gus menjadi hab pengeluaran hidrogen di rantau ini.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, kerajaan khususnya kementeriannya sentiasa merangkumkan aspirasi serta inisiatif peralihan tenaga yang dirancang dan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

“(Ini) khususnya perancangan perbekalan dan penjanaan TBB dalam pelan perancangan nasional, selain bersedia bekerjasama dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan berhubung dengan pelaksanaan pembangunan TBB dengan agensi kawal selia dan pemegang taruh di Sarawak,” katanya pada Waktu Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Rodiyah Sapiee (Gabungan Parti Sarawak -Batang Sadong) yang ingin tahu komitmen kerajaan pusat bagi menyokong aspirasi Sarawak mencapai matlamat menjadi hab tenaga boleh diperbaharui di Asia Tenggara.

Berkenaan langkah strategik yang telah diambil oleh PETRA bagi merealisasikan sasaran mencapai 40 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035 pula, Fadillah berkata, pembangunan loji janakuasa solar berskala besar melalui Program Solar Berskala Besar (LSS) sedang dilaksanakan.

Selain itu kata beliau kerajaan turut menggalakkan pemasangan sistem solar di bumbung bangunan melalui Program Net Energy Metering (NEM) dan Solar for Selfconsumption (SelCo).

“(Antara lain termasuk) pembangunan loji jana kuasa TBB yang dibiayai secara langsung oleh pengguna elektrik hijau melalui Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) dan pembangunan projek penjanaan sumber bukan solar melalui Program Feed-in Tariff (FiT) dan Low Carbon Energy Generation Programme,” katanya.

Kepada soalan tambahan sama ada kerajaan akan melaksanakan inisiatif pemasangan sistem solar di rumah di Sarawak,  Fadillah berkata, ia terhad kepada Semenanjung Malaysia dan tidak terpakai di Sarawak disebabkan perundangan yang berbeza.

Fadillah turut menyarankan agar kerjasama Kerajaan Sarawak dan pihak berkenaan dapat dijalankan untuk membincangkan kemungkinan perlaksanaan inisiatif itu di wilayah berkenaan. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan