KUALA LUMPUR, 20 Feb: Kerajaan terus komited memperkasa golongan muda melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertujuan untuk menyediakan kemahiran relevan dengan keperluan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program TVET kini ditawarkan di 1,398 institusi di seluruh negara.
Kata beliau pelbagai program dalam bidang kemahiran, termasuklah soft skills dan bidang High Growth High Value (HGHV) seperti teknologi dan industri peralihan tenaga turut ditawarkan kepada pelajar.
“Selain itu, kerajaan komited untuk memperkasakan program TVET berasaskan teknologi tinggi selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Langkah ini bertujuan memastikan graduan TVET dilengkapi dengan kemahiran yang sejajar dengan perkembangan teknologi serta memenuhi keperluan tenaga kerja industri yang semakin pesat berkembang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Ahmad Zahid menjawab soalan Lee Chuan How (Pakatan Harapan – Ipoh Timor) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk menarik minat golongan muda terhadap Pendidikan TVET.
Bagi memenuhi perkembangan teknologi dan keperluan tenaga kerja pula, jelas Ahmad Zahid kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Program Latihan Fleksibel, Pendekatan Mikro-Credential, serta kaedah latihan bersama industri.
“Peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi turut disediakan melalui Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), tanpa syarat kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi graduan TVET,” katanya. – TVS.