KUALA LUMPUR, 20 Feb: Risikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati wujud sindiket menawarkan kad pengenalan palsu ditawarkan dengan harga sekitar RM4, 000 hinggan RM5,000, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, majoriti pelanggan merupakan warganegara asing yang ingin berkerja dan menetap di Malaysia.
Sehubungan itu jelas beliau JPN telah melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan termasuk penjualan kad pengenalan palsu serta perkhidmatan pemalsuan identiti secara dalam talian.
“Pemantauan ini melibatkan platform media sosial seperti Facebook, Instagram, Telegram, dan TikTok untuk memastikan sebarang aktiviti haram dapat ditangani segera,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Perikatan Nasional -Masjid Tanah) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sejauh manakah langkah pemantauan serta tindakan penguatkuasaan diambil terhadap sindiket pemalsuan Mykad.
Sementara itu Shamsul Anuar memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui JPN terus komited dalam membanteras aktiviti sindiket pemalsuan Mykad.
“Untuk menangani isu ini, JPN menjalankan kerjasama erat dengan pihak penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata JPN turut melaksanakan kempen kesedaran kepada orang awam mengenai kepentingan menjaga dan melindungi dokumen pengenalan diri seperti Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan.
Beliau berkata, orang ramai juga dimaklumkan mengenai kesan dan akibat membeli atau memiliki dokumen palsu, serta diingatkan bahawa dokumen pengenalan diri hanya boleh diperoleh melalui JPN dan bukan melalui pihak ketiga.
“JPN mengingatkan orang awam bahawa memiliki Kad Pengenalan palsu adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, dengan denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya,” katanya. -TVS.