KUALA LUMPUR, 20 Feb: Kerajaan akan menubuhkan Pusat Subfertiliti Negara yang bakal dilengkapi kemudahan rawatan kesuburan lengkap serta moden pada kos berpatutan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penurunan kadar kesuburan telah menjadi isu global terutamanya dalam kalangan negara maju dan membangun.
Jelas beliau mengikut data oleh Economic and Social Commission for Asia and the Pacific (ESCAP) pada 2024, kebanyakan negara di Asia Pasifik kini mencatatkan kadar kesuburan di bawah 2.1 kadar penggantian.
“Dalam tempoh 15 tahun ini, kadar kesuburan keseluruhan (TFR) tertinggi di Malaysia dicatatkan pada 2011 dan 2012 iaitu 2.2. dan sejak itu, negara kita menunjukkan trend TFR yang menurun. Kadar TFR Malaysia buat kali pertama dalam tempoh tersebut menunjukkan peningkatan 0.1 kepada 1.7 pada 2023 berbanding TFR 1.6 pada tahun sebelumnya.
“Dalam hal ini, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar TFR. Ini termasuklah faktor ekonomi serta cara gaya hidup yang antaranya boleh mempengaruhi keputusan seperti pilihan umur untuk berkahwin, bilangan anak dan sebagainya.
“Pada masa yang sama, masalah ketidaksuburan turut boleh mempengaruhi kadar TFR,” katanya pada Waktu Pertanyaan – Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Nancy menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (Perikatan Nasional -Permatang Pauh) yang ingin tahu langkah KPWKM untuk meningkatkan kadar kelahiran negara yang semakin menurun dan apakah inisiatif dalam menggalakkan rakyat agar menambahkan bilangan anak bagi mengelakkan masalah kadar kelahiran yang menurun.
Tambah Nancy, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) giat melaksanakan inisiatif bagi menangani isu penurunan kadar kelahiran dan TFR.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Galakan Perkahwinan.
“Sebagai contoh, LPPKN telah bekerjasama dengan badan bukan kerajaan bagi menganjurkan program Majlis Resepsi Mahligai Cinta bagi meraikan serta memberi kenangan indah majlis perkahwinan kepada pasangan yang terpilih,” katanya.
Mengulas lanjut, Nancy berkata LPPKN juga menawarkan perkhidmatan yang boleh menyediakan persekitaran yang membantu pasangan membuat keputusan seperti perkhidmatan perancang keluarga dan pelaksanaan program pembangunan keluarga menerusi Modul SMART START Pra Perkahwinan.
“Modul ini memberi kemahiran dan pengetahuan kepada pasangan yang bercadang mendirikan rumah tangga.
“Sementara itu, bagi pasangan yang mempunyai masalah berkaitan kesuburan, LPPKN menawarkan pelbagai inisiatif termasuklah perkhidmatan rawatan kesuburan pada kos yang berpatutan dan pengoperasian klinik kesejahteraan lelaki, yang antaranya menyediakan khidmat nasihat masalah seksual dan amalan gaya hidup sihat, serta rawatan ubat untuk membantu meningkatkan kesuburan lelaki,” katanya. -TVS.