KUCHING, 20 Feb: Bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas yang diperjuangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Mohammad Razi Sitam sejak 2013, kini menjadi kenyataan.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti itu, ia antara bukti kesungguhannya dalam meningkatkan mutu pendidikan di kawasan Saribas.
“Pada 2013, saya mengemukakan permohonan untuk pembinaan bangunan baharu SMK Saribas, sebagai usaha dan komitmen untuk meningkatkan mutu pendidikan di kawasan Saribas.
“Azam saya untuk memberikan kemudahan terbaik kepada pelajar-pelajar di kawasan ini.
“Walaupun melalui masa yang panjang, lebih sedekad berlalu, permohonan saya diluluskan dan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Dengan kos keseluruhan RM12 juta, projek pembinaan bangunan baharu SMK Saribas kini hampir siap sepenuhnya dan bakal memberi ruang yang lebih kondusif kepada pelajar dan tenaga pengajar di sekolah ini,” katanya di sini, semalam.
Jelasnya, bangunan baharu yang lebih moden ini diharap dapat menjadi tempat yang lebih sesuai untuk melaksanakan pembelajaran dengan berkesan dan berkualiti.