KUCHING, 20 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat daripada Speaker House of Commons (Dewan Rakyat) United Kingdom (UK), Sir Lindsay Hoyle, hari ini.
Dalam kunjungan sulungnya ke Sarawak, Lindsay berkata, lawatan berkenaan bertujuan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua negara.
“Ini adalah kunjungan pertama saya di sini dan saya berpeluang untuk melihat sendiri keindahan serta merasai kemesraan rakyatnya.
“Pada masa sama, saya juga mengambil maklum tentang banyak lagi perkara yang boleh kita capai bersama antara UK dan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas lawatan berkenaan.
Menurutnya, peranannya sebagai Speakar lebih kepada kuasa lunak (soft power) dan bukannya bersifat politik.
“Sebahagian besar daripada lawatan saya sebagai Speaker adalah untuk menekankan kepentingan hubungan dalam Komanwel.
“Tujuan saya di sini adalah untuk mempromosikan persahabatan itu, termasuk dalam bidang perdagangan, selain membincangkan mengenai potensi usaha sama masa hadapan,” ujarnya.
Terdahulu pada sebelah pagi, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak.
Speaker Parlimen UK itu tiba di Malaysia pada Isnin dan mengadakan beberapa siri pertemuan di Kuala Lumpur sebelum tiba di Sarawak. -TVS