Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Noordiana Hamisallina Hamzah berpendapat perkembangan industri sawit turut dipengaruhi faktor infrastruktur Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang hampir siap sepenuhnya. Foto: Mohammad Fauzi Jaini (TVS)

Sarawak Plantation Berhad optimis industri sawit berkembang maju pada masa hadapan

ByNur Suhaida Muliyono

MIRI, 19 Feb: Sarawak Plantation Berhad (SPB) yakin dengan pembangunan dan kemajuan yang akan dihadapi industri kelapa sawit khususnya di wilayah ini dalam masa beberapa tahun akan datang.

Pengurus Pembangunan dan Penyelidikan (R&D), Semaian dan Unit Pengeluaran Biji Benih (SPU) SPB, Noordiana Hamisallina Hamzah turut menyuarakan komitmen SPB dalam membantu merealisasikan hasrat berkenaan.

“Untuk makluman anda, SPB adalah satu-satunya pengeluar biji benih sawit di Sarawak, justeru kami sangat ingin membantu rakyat Sarawak dalam membekalkan bahan tanaman. Itu adalah salah satu perkhidmatan SPB di Sarawak.

“SPB juga memberi khidmat nasihat sekiranya diperlukan dari segi penyediaan tapak semaian, memeriksa kandungan bahan tanaman atau nutrien pada daun, tanah dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita TVS di reruai SPB pada Persidangan Pengurusan Minyak Sawit, Pameran dan Teknologi (POMtec) 2025 di sini hari ini.

Tambah Noordiana, perkembangan industri sawit ini yang turut dipengaruhi faktor infrastruktur Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang hampir siap sepenuhnya, juga mendorong kepada lebih banyak peluang pekerjaan yang bakal tersedia buat seluruh rakyat Sarawak.

“Seperti kita sedia maklum, di ladang ini hidupnya tidak mudah. Dengan panasnya, dengan kotornya, dengan jauh daripada bandar dan sebagainya.

“Tetapi, cabaran itu saya rasa, ia bukan semakin teruk atau semakin sukar, bahkan ia semakin baik dengan keadaan sistem jalan di Sarawak semakin bagus, Pan Borneo pun dah siap hampir 100 peratus. Jadi, bagi saya sangat membantu untuk perkembangan industri kelapa sawit di Sarawak,” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Refraline Malaysia Sdn Bhd, Andy Janse van Rensburg pula berpendapat ketiadaan ruang penerimaan terhadap teknologi baharu dan tiada pendidikan mengenai teknologi baharu menjadi cabaran buat syarikat-syarikat antarabangsa untuk membawa perubahan terhadap sektor perladangan khususnya industri kelapa sawit.

Pengarah Urusan Refraline Malaysia Sdn Bhd, Andy Janse van Rensburg.

Menurutnya, acara seperti POMtec memberi peluang dalam mengintai potensi kerjasama antara kilang dan syarikat minyak sawit.

“Selain itu, mindset juga. Terdapat sesetengah individu yang bersedia menerima perubahan teknologi dan ia bertambah baik dari semasa ke semasa.

“Dengan kemajuan dalam kecerdasan buatan (AI) yang telah dicapai, saya fikir akan ada ledakan dalam hal itu dari segi refraktori, dari sudut pandangan kami.

“Justeru kami mengharapkan sumbangan positif kepada kilang secara khusus dan meningkatkan output serta meminimumkan masa henti untuk kilang, yang bermanfaat kepada mereka dan pihak kami,” jelas beliau.

Dengan tema “Streamlining The Supply Chain For Improved Sustainable Yield and Productivity”, POMtec 2025 memfokuskan pada pengukuhan kecekapan, kemampanan dan inovasi di seluruh industri.

Berlangsung selama dua hari bermula Selasa, POMtec 2025 dianjurkan oleh SOPPOA dengan kerjasama Kementerian Perladingan dan Komoditi, Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, serta beberapa badan seperti MPOB, MPOC, MSPO, dan Malaysian Palm Oil. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan