MIRI, 19 Feb: Kerajaan Sarawak terus berusaha mempertahankan industri komoditi kelapa sawit negeri berikutan cabaran yang semakin meningkat termasuk peraturan baharu Kesatuan Eropah (EU) berhubung produk bebas penebangan hutan terhadap komoditi terpilih.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, sekatan EU yang menyasarkan hasil komoditi seperti kelapa sawit, getah, koko dan lada memberi kesan kepada industri tempatan terutama dalam aspek pengembangan tanah pertanian.
“Bukan sahaja Malaysia, tetapi negara lain seperti Indonesia dan Kanada turut berusaha keras untuk mempertahankan industri komoditi mereka daripada sekatan EU,” katanya semasa ditemui media selepas Majlis Penutupan Persidangan Pengurusan Minyak Sawit, Teknologi dan Pameran (POMtec) 2025 di sini hari ini.
Beliau menegaskan, sehingga kini tiada keputusan muktamad daripada EU mengenai larangan tersebut namun kerajaan negeri akan meneruskan usaha bagi memastikan industri komoditi kelapa sawit terus memberi pulangan kepada rakyat.
“Ini penting bagi memastikan kumpulan berpendapatan rendah (B40) dapat keluar daripada kemiskinan. Jika industri ini disekat, ia akan memberi kesan besar kepada golongan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, industri komoditi kelapa sawit Sarawak telah menyumbang lebih RM1 bilion kepada ekonomi negeri pada tahun lalu dengan pekebun kecil menikmati hasil yang memberangsangkan.
Justeru, beliau berharap pihak berkepentingan dalam industri komoditi kelapa sawit dapat terus menyokong pembangunan sektor ini bagi memastikan ia kekal sebagai salah satu sumber utama ekonomi Sarawak.
“Berbanding tanaman lain seperti rambutan dan durian yang bermusim, kelapa sawit memberikan pulangan yang lebih stabil,” katanya. – TVS