KUCHING, 19 Feb: OCI TerraSus, syarikat tenaga dan kimia Korea Selatan, dengan kerjasama rakannya dari Jepun, Tokuyama, melabur dalam pembangunan kilang pembuatan semikonduktor polisilikon pertama di Sarawak.
Pengerusinya, Lee WooHyun, berkata projek yang juga merupakan pertama di rantau ASEAN ini adalah satu usaha yang kompleks dan memerlukan sokongan dasar daripada Kerajaan Sarawak.
“Ini merupakan kali pertama syarikat Korea dan Jepun bekerjasama dan datang ke Malaysia, khususnya di Sarawak untuk membina kilang polisilikon pertama di seluruh rantau ASEAN.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memberikan sokongan yang sangat baik sejak kami mula di Sarawak lapan tahun yang lalu.
“Beliau juga memberi jaminan sokongan penuh bagi memastikan pelaburan berkaitan semikonduktor ini berjaya,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Dalam memastikan kejayaan projek ini, OCI TerraSus merancang untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan, institusi akademik dan pusat latihan teknikal bagi mendapatkan tenaga kerja mahir.
“Kami memerlukan jurutera dan saintis berkemahiran tinggi, bukan sekadar tenaga kerja murah. Oleh itu, latihan dan pembangunan bakat tempatan menjadi keutamaan kami,” katanya.
Tambahnya, OCI TerraSus juga bercadang untuk mengambil kira-kira 600 jurutera dan juruteknik dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Kilang ini katanya akan dibina di Taman Perindustrian Samalaju, bersebelahan dengan fasiliti OCI TerraSus yang sedia ada, bagi memastikan operasi yang lebih efisien.
Delegasi yang turut hadir dalam kunjungan hormat OCI TerraSus itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Dr Anas Alam Faizli dan Pengarah Pengurusan Sumber Manusia, Ting Siew Ling. -TVS