NEW YORK, 19 Feb: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu diperluaskan dan lebih mewakili realiti geopolitik semasa, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada Selasa, lapor Xinhua.
Dalam ucapan pada perbahasan terbuka peringkat menteri bertemakan “The Maintenance of International Peace and Security: Practicing Multilateralism, Reforming and Improving Global Governance,”yang dianjurkan oleh China, Guterres berkata “Pact for the Future” yang diterima pakai pada September tahun lalu bertujuan memperkukuh tadbir urus global bagi abad ke-21 serta memulihkan kepercayaan terhadap multilateralisme, PBB dan Majlis Keselamatan.
Beliau menjelaskan bahawa perjanjian itu merangkumi komitmen untuk memperbaharui sistem kewangan global bagi mewakili keperluan negara membangun dengan lebih adil, serta “Global Digital Compact” yang menyeru penubuhan badan tadbir urus kecerdasan buatan (AI) melibatkan negara membangun dalam proses membuat keputusan buat kali pertama.
“Perjanjian ini juga mengiktiraf bahawa Majlis Keselamatan mesti mencerminkan dunia hari ini, bukan dunia 80 tahun lalu dan menetapkan prinsip penting bagi membimbing reformasi yang telah lama dinantikan ini,” katanya.
Sempena ulang tahun ke-80 penubuhan PBB, beliau berkata organisasi itu adalah hasil daripada komitmen global untuk “menyelamatkan generasi akan datang daripada bencana peperangan,” serta menandakan komitmen baharu dalam kerjasama antarabangsa yang berlandaskan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB.
“Namun, 80 tahun adalah tempoh yang panjang. Dan kerana kita percaya kepada nilai dan tujuan PBB yang unik, kita mesti sentiasa berusaha untuk menambah baik institusi ini dan cara ia berfungsi,” kata Guterres.
Beliau menyatakan bahawa PBB mempunyai “peralatan” bagi kerjasama antarabangsa, tetapi “perisiannya perlu dikemas kini” – termasuk dari segi perwakilan bagi mencerminkan realiti semasa, sokongan kepada negara membangun, pematuhan kepada prinsip keadilan dalam multilateralisme, serta penambahbaikan operasi keamanan.
Ketua PBB itu turut menekan cabaran global yang memerlukan penyelesaian berasaskan multilateralisme, seperti keamanan yang semakin sukar dicapai, ancaman keganasan dan ekstremisme serta bahaya teknologi baharu seperti AI yang boleh melemahkan malah menggantikan pemikiran, identiti dan kawalan manusia.
Beliau menyeru agar kaedah kerja Majlis Keselamatan terus diperbaiki supaya lebih inklusif, telus, cekap, demokratik dan bertanggungjawab, sambil menekankan bahawa kini adalah masa untuk membina momentum yang dicetuskan oleh “Pact for the Future” serta mencapai konsensus yang lebih luas bagi mempercepatkan rundingan antara kerajaan.
“Multilateralisme adalah nadi utama PBB,” katanya, sambil menambah bahawa berpandukan penyelesaian dalam “Pact for the Future”, multilateralisme boleh menjadi instrumen keamanan yang lebih berkesan.
“Namun, kekuatan multilateralisme bergantung kepada komitmen setiap negara,” kata Guterres.
Beliau menggesa semua negara anggota untuk terus memperkukuh dan mengemas kini mekanisme penyelesaian masalah global, supaya ia “bersesuaian dengan tujuan, memenuhi keperluan rakyat, dan mendukung keamanan.” – TVS