KUALA LUMPUR, 19 Feb: Bank Rakyat meneruskan tradisi menghargai pelanggan melalui Kempen Hulurkan Salam, menawarkan peluang memenangi pelbagai ganjaran menarik dan menyediakan platform untuk usahawan mengembangkan perniagaan.
Kempen ini juga menyertakan inisiatif jangkauan komuniti kepada masyarakat sempena bulan Ramadan dan Syawal dengan peruntukan lebih RM900,000.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata tema ‘Hulurkan Salam’, adalah simbolik kepada penghargaan kepada pelanggan setia.
“Tradisi menghulurkan salam adalah lebih daripada sekadar ucapan, ia adalah tanda kasih sayang, keikhlasan serta kemaafan yang mengeratkan hubungan antara setiap insan.
“Bank Rakyat bukan sahaja sebuah institusi kewangan, tetapi juga rakan perbankan yang dipercayai dalam perjalanan hidup pelanggan kami yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang sosial,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sepanjang 70 tahun penubuhan Bank Rakyat, hubungan erat yang kekal terjalin antara Bank dengan pelanggan dan komuniti adalah asas keutuhan kami.
“Kami berharap menerusi pelbagai inisiatif yang telah direncanakan menerusi kempen ini dapat mengeratkan lagi hubungan kami dengan setiap pelanggan serta memberi mereka lebih banyak kegembiraan dan keceriaan sempena bulan yang penuh bermakna ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan bahawa hubungan erat Bank Rakyat dengan pelanggan selama 70 tahun adalah asas keutuhan bank tersebut.
Sementara itu, kempen utama yang berlangsung dari 1 Mac hingga 31 Mei 2025 menawarkan hadiah bernilai RM370,000, termasuk kereta mewah Jaecoo J7, Proton e.MAS, dan motosikal elektrik BMW CE 04.
Bank Rakyat juga akan menganjurkan cabutan khas untuk Akaun Pelaburan-i Rizq Plus dengan hadiah utama RM100,000 serta emas 20 gram.
Sebagai tambahan, Bank Rakyat menawarkan rebat istimewa seperti diskaun lima peratus untuk pembelian petrol dan barangan runcit, diskaun tiga peratus untuk barangan keperluan harian, serta diskaun satu peratus untuk pembelian emas menggunakan Kad Kredit-i Bank Rakyat.
“Kempen ini bertujuan mengeratkan hubungan dengan pelanggan dan memberi lebih banyak kegembiraan sempena bulan yang penuh makna ini,” jelasnya lagi.