KUCHING, 19 Feb: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak komited dalam meningkatkan ketelusan dalam pelaksanaan projek kerajaan di wilayah ini.
Pengarahnya, Ir. Dr. Cassidy Morris berkata ia penting bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkembangan semasa berkaitan pembinaan jalan, jambatan, bangunan awam serta infrastruktur lain di wilayah ini.
“Kerjasama dengan TVS amat penting bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat maklumat yang sahih dan tepat mengenai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Ini juga dapat mengelakkan sebarang kekeliruan atau maklumat tidak tepat yang mungkin timbul,” menurutnya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Selain itu, Cassidy berkata pihaknya akan terus memperkukuh jalinan kerjasama dengan TV Sarawak (TVS) dalam penyampaian maklumat berkaitan projek infrastruktur dan pembangunan di Sarawak.
Ketika berkunjung ke pejabat TVS, beliau yang disambut oleh Ketua Pegawai Media Sarawak Media Group, Mohamad Sardon Zainal, berkata stesen penyiaran ini berperanan penting dalam menyebarkan informasi yang tepat dan telus kepada rakyat.
Menurut hantaran itu lagi, inisiatif daripada JKR sarawak adalah sebahagian usaha mereka dalam memperkukuh hubungan strategik antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan pihak media di Sarawak.
Delegasi JKR Sarawak turut berpeluang melawat ke fasiliti penyiaran TVS, termasuk studio berita dan pusat kawalan utama untuk melihat secara dekat operasi studio serta memahami dengan lebih mendalam proses penyiaran di TVS. – TVS