KUALA LUMPUR: 19 Feb: Jumlah pengeluaran Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencecah RM12.07 bilion setakat 31 Disember 2024, kata Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menteri Kewangan II itu berkata pengeluaran itu melibatkan sebanyak 4.11 juta ahli atau 31.1 peratus daripada keseluruhan 13.2 juta ahli bawah umur 55 tahun.
“Jumlah baki simpanan keseluruhan Akaun Fleksibel pula adalah sebanyak RM7.73 bilion,” katanya ketika sesi penggulungan usul menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Untuk rekod, KWSP pada 11 Mei 2024 telah melakukan penstrukturan semula akaun kepada tiga akaun.
Akaun Fleksibel diperkenalkan bagi membantu ahli menangani keperluan kewangan jangka pendek yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa untuk apa-apa tujuan mengikut keperluan terutamanya ketika kecemasan.-TVS.