KUALA LUMPUR, 19 Feb: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam pembinaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, KKDW mengambil maklum berkenaan cadangan itu yang telah diutarakan beberapa pihak sebelum ini dengan kajian kesesuaian dan kebolehlaksanaan sedang dilakukan.
Jelas beliau berikutan rumah PPRS terletak di kawasan luar bandar, KKDW perlu mengambil kira struktur tanah untuk reka bentuk rumah yang dibina.
“Kita (KKDW) pernah memikirkan untuk menggunakan kaedah baharu ini kerana pelaksanaanya cepat dan kosnya yang murah, namun kita perlu lakukannya dengan teliti bagi memastikan pelaksanaanya nanti tidak menjejaskan pembinaan PPRS,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Rubiah menjawab soalan tambahan daripada Yusuf Abd Wahab (Gabungan Parti Sarawak – Tanjong Manis) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang menggunakan kaedah IBS bagi membina rumah dengan lebih cepat dan murah susulan permohonan tinggi untuk PPRS.
Terdahulu, Rubiah memberitahu Dewan Rakyat bahawa bagi tahun ini, sejumlah RM464.45 juta diperuntukkan untuk membina 2,703 PPRS baharu dan 10,281 bagi membaik pulih.
Beliau menjelaskan, permohonan boleh dikemukakan melalui pelbagai saluran iaitu secara individu, sistem e-Kasih atau pejabat daerah. – TVS