KUALA LUMPUR, 19 Feb: Malaysia dijangka akan menerima tempias susulan rancangan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, meskipun sekatan itu dijangka tidak akan menjejaskan pembangunan ekosistem pusat data domestik secara keseluruhan namun ia tetap akan memberi cabaran kepada Malaysia.
Jelas beliau ini membabitkan pembanguann pusat data AI.
“Malaysia dijangka ditempatkan di peringkat tier dua dengan akses yang terhad dan terkawal dari segi pengimportan teknologi AI termaju ini.
“Negara-negara ASEAN dan Asia lain yang dijangka akan turut dikategorikan sebagai tier 2 termasuk Arab Saudi, Singapura, Indonesia serta Vietnam.
“Bagaimanapun, sekatan ini tidak akan menjejaskan operasi pusat data yang lain seperti pusat data yang memberi perkhidmatan transaksi, e-dagang dan penyimpanan data kerana mereka tidak menggunakan cip AI atau teknologi AI termaju,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (Pakatan Harapan -Labis) di Dewan Rakyat hari ini mengenai impak terhadap Malaysia untuk menjadi pusat data serantau selepas pengumuman sekatan terbaru AS di bawah pentadbiran Presiden, Donald Trump.
Mengulas lanjut Chin Tong berkata, sekiranya sekatan AS itu telah dikuatkuasakan, pihak kerajaan akan bertindak secara wajarny selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional (National Semiconductor Strategy – NSS).
“Ini bagi memastikan industri yang bergantung kepada teknologi AI termaju ini tidak terjejas atau diminimakan impaknya dalam ekosistem sektor elektronik dan elektrik (E&E) di Malaysia,” katanya. -TVS.