KUALA LUMPUR, 19 Feb: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukan sebanyak RM16.51 juta bagi menyediakan kemudahan di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Beladin.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, inisiatif berkenaan telah memanfaatkan seramai 476 orang nelayan dan komuniti setempat.
Jelas beliau ketika ini kerja baik pulih kompleks berkenaan sedang dilaksanakan.
“Ia melibatkan kemudahan blok pentadbiran, dewan pemasaran, tandas awam, pondok pengawal, pusat pemprosesan hasil perikanan, stor penyimpanan kotak ikan serta kerja-kerja infrastruktur, mekanikal dan elektrikal yang terlibat.
“Kompleks Perikanan LKIM Beladin dijangka dapat memulakan operasi sepenuhnya pada akhir Julai 2025 setelah kerja-kerja baik pulih ini selesai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (Gabungan Parti Sarawak-Batang Lupar) yang ingin tahu kerja-kerja serta kemudahan-kemudahan yang mash perlu di sediakan di Kompleks LKIM Beladin.
Arthur Joseph menambah, kompleks tersebut sebelum ini berhadapan dengan masalah bekalan air bersih serta capaian talian internet.
“Namun KPKM akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Sarawak dalam memastikan fasiliti kerajaan dapat digunakan secara optimum oleh pengguna.
“Kementerian akan sentiasa berusaha untuk memastikan kesejahteraan komuniti nelayan melalui penyediaan kemudahan dan infrastruktur pendaratan ikan yang lengkap bagi menyokong aktiviti perikanan serta melancarkan kerja-kerja pendaratan ikan.”-katanya. -TVS