KUALA LUMPUR, 19 Feb: Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan untuk melantik seramai 3,000 pegawai perubatan siswazah (PPS) yang akan ditempatkan di 49 Hospital Latihan Siswazah (HLS) di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagi suku pertama 2025, kementeriannya telah melantik secara kontrak seramai 1,114 pegawai perubatan gred UD9 untuk menjalani latihan siswazah di 49 HLS.
“Pada 2024, seramai 3,316 telah dilantik sebagai PPS dan ditempatkan di HLS di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, seramai 423 PPS telah ditempatkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
“Pelantikan pegawai perubatan siswazah dilaksanakan sebanyak enam kali setahun dengan sela masa dua bulan berbanding tempoh menunggu lebih satu tahun sebelum ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan V. Ganabatirau (Pakatan Harapan -Klang) yang ingin tahu jumlah doktor pelatih yang telah diserap ke dalam fasiliti-fasilti kesihatan negara sepanjang 2024 serta jangkaan untuk tahun ini.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Perikatan Nasional-Tanjong Karang) berkenaan statistik peratusan pelajar perubatan yang menyerah kalah semasa menunggu untuk diserap sebagai doktor pelatih, Dr. Dzulkefly berkata, pihaknya mendapati terdapat penurunan ketara berhubung isu bagi tempoh 2016 hingga kini.
“Daripada 6,700, jumlah itu telah turun kepada 3,316 iaitu 30 peratus penurunan.
“Hakikatnya mereka tidak tinggalkan kerjaya mereka. Berkenaan stastik, saya akan berikan jawapan secara lisan, “ katanya. – TVS