KUALA LUMPUR, 19 Feb: Langkah kerajaan mengekalkan pemberian subsidi perkhidmatan udara dari luar bandar (RAS) kepada AirBorneo dibuat bagi mengelakkan syarikat penerbangan milik Kerajaan Sarawak itu mengalami kerugian susulan keputusan mengekalkan perkhidmatan udara luar bandar yang disifatkan tidak menguntungkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, meskipun entiti itu yang sebelum ini dikenali sebagai MASwings telah berpindah hak milik kepada Kerajaan Sarawak, namun ia tetap menjadi obligasi kerajaan dalam penyaluran RAS kepada syarikat penerbangan yang beroperasi melibatkan perkhidmatan udara luar bandar.
“Kita masih ada obligasi untuk membantu memastikan penerbangan di kawasan luar bandar tidak terputus, kalau tidak mereka (AirBorneo) akan mengalami kerugian besar.
“Seperti MASwings kita salurkan subsidi, sama juga sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin beroperasi di kawasan luar bandar.
“Kalau tanpa bantuan dari kerajaan, sudah tentu tiada syarikat komersial yang hendak jalankan perniagaan tersebut,” katanya pada sesi penggulungan Perbahasan Usul menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anthony berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Perikatan Nasional-Langkawi) yang meminta penjelasan berhubung keputusan kerajaan untuk meneruskan pemberian RAS kepada Air Borneo.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mohd Suhaimi sama ada Air Borneo akan menyediakan laluan penerbangan dari Kuching ke Langkawi, Loke berkata ia terpulang kepada syarikat itu dengan menjelaskan bahawa kementeriannya tidak mempunyai sebarang halangan.
“Terpulang kepada Air Borneo, MOT tidak sekat mana-mana penerbangan, tetapi sekiranya kalau mahu ia direalisasikan, Kerajaan Kedah perlu melakukan pemasaran,” ujarnya. – TVS.