SUBANG JAYA, 19 Feb: Penerapan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam industri pembuatan dan pelaburan mampu membantu syarikat tempatan membina perniagaan yang lebih mampan bagi tempoh jangka panjang.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pematuhan amalan itu juga berupaya mengurus risiko dan mengoptimumkan pengurusan sumber bagi syarikat selain membina daya tahan dalam menangani cabaran alam sekitar dan sosial.
“ESG bukan hanya sekadar latihan pematuhan, sebaliknya berfungsi sebagai strategi untuk kemampanan perniagaan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran ESG Public-Private Partnership antara Glocomp Systems, Microsoft Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bersama Persatuan Pekilang Malaysia (FMM) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.
Jelasnya, prinsip ESG memastikan pembuatan pintar mampu bergerak lebih jauh dengan mengambil kira keseimbangan dalam pertimbangan kesan alam sekitar, tanggungjawab sosial dan piawaian tadbir urus.
“Dengan menyepadukan peralatan digital dengan industri amalan terbaik, kementerian meletakkan asas untuk membangunkan sektor pembuatan pintar yang mampan dan makmur serta berdaya saing untuk memacu pertumbuhan Malaysia pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, penerapan amalan ESG juga kata beliau menggalakkan inovasi dan kecekapan dalam pengoperasian yang mampu menjimatkan kos serta meningkatkan ketelusan operasi.
Kata beliau sebagai contoh kecerdansan buatan (AI) dan peralatan digital yang maju seperti ‘Microsoft Cloud for Sustainability Pilot’ yang memudahkan pengeluar mengautomasikan pelaporan ESG, mengesan pelepasan karbon dalam masa nyata dan serta mengoptimumkan penggunaan tenaga.
“Pengeluar yang mengamalkan prinsip ESG juga akan lebih mudah untuk mengakses dan mengembangkannya pasaran, dengan pematuhan terhadap piawaian kemampanan antarabangsa menjadi pembeza daya saing utama.
“Operasi yang sejajar dengan prinsip ESG membuka pintu kepada rantaian bekalan global yang mengutamakan amalan yang bertanggungjawab dan telus,” katanya. – TVS