MIRI, 18 Feb: Penduduk rumah panjang digalakkan untuk menjalankan aktiviti pertanian secara koperasi (berkelompok) bagi memastikan setiap anggota yang terlibat dapat menggalas peranan masing-masing sekali gus mendapat kepentingan serta keuntungan bersama.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom menegaskan, kerjasama itu dilihat lebih efektif berbanding melakukan aktiviti pertanian secara bersendirian.
“Contohnya, ada pihak yang menanam, mengangkut, menjual serta memproses hasil tanaman sama ada kelapa sawit, buah kelapa, pisang dan sebagainya.
“Semua mereka yang menjalankan tugasan tersebut merupakan ahli-ahli di dalam koperasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Sijil Lanjutan Ketua Kaum Sesi 2025/2026 kawasan Suai/Niah hari ini.
Dr Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menjelaskan, pendekatan yang diambil itu akan membantu memudahkan komuniti rumah panjang menjalankan aktiviti harian mereka.
“Mereka tidak perlu mencari pekerja kerana setiap ahli di dalam koperasi sudah mengetahui tanggung jawab sendiri dan kerugian yang berlaku dapat dikurangkan secara minimum,” ujarnya.
Untuk rekod, hampir RM600,000 jumlah MRP yang telah diberikan kepada 16 penerima yang terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), biro wanita, dan persatuan di kawasan Niah/Suai.
Selain itu, seramai 10 orang menerima Sijil Lanjutan Tempoh Perkhidmatan Ketua Kaum Sesi 2025-2026. – TVS