KUCHING, 18 Feb: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyokong penuh komitmen Kumpulan AFFIN bagi menyediakan perkhidmatan perbankan yang inklusif dan lestari di wilayah ini.
Menerusi satu kenyataan, Tun Dr Wan Junaidi menyifatkan inisiatif daripada kumpulan bank itu menyokong sepenuhnya pembangunan ekonomi Sarawak.
“Kerjasama erat antara sektor perbankan dan kerajaan negeri amat penting dalam memastikan pembangunan ekonomi Sarawak terus berkembang dan memberi manfaat kepada rakyat,” catat kenyataan terbabit.
Tun Dr Wan Junaidi berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada AFFIN yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Datuk Wan Razly Abdullah serta Pengerusi AFFIN Bank Berhad, Dato Agil Natt di sebuah hotel terkemuka di Kuching hari ini.
Rombangan AFFIN itu turut disertai Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti AFFIN Bank, Mohammad Fairuz Mohd Radi, Pengarah Perbankan Sarawak AFFIN Bank, Victor Liew Wui Tak serta Pengarah Urusan Pejabat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN Bank, Isman Ariffin. – TVS