Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi Wisma Lestari, Sarawak Forestry Corporation di Kuching, hari ini. Foto Nadim Bokhari (TVS)

Teknologi baharu percepat kajian pemuliharaan ikan terubuk di Sarawak

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 18 Feb: Satu inisiatif penyelidikan baharu menggunakan teknologi canggih bakal mempercepatkan usaha pemuliharaan ikan terubuk di perairan Sarawak, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, peranti penyelidikan bawah air yang mampu menyelam sehingga 300 meter tersebut berupaya mengumpul data ekologi dengan lebih tepat.

“Menurut pihak saintis, pengambilan sampel air berserta data persekitaran yang diperoleh dapat memberikan maklumat penting mengenai habitat sesuatu kawasan serta bagaimana ia berkembang.

“Oleh itu, saya mencadangkan agar kajian lebih mendalam dilakukan terhadap ikan terubuk,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Wisma Lestari, Sarawak Forestry Corporation (SFC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh dan Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran.

Abang Johari berkata, sebelum ini, kajian berkaitan ikan terubuk pernah dijalankan di Pulau Seduku Research Center dengan kerjasama pakar dari New Zealand.

“Namun pada hari ini, kita masih tidak memperoleh hasil daripada kajian itu. Jadi dengan adanya teknologi ini, mungkin saya meminta mereka untuk membuat kajian, sama ada kita boleh membiakkan ikan terubuk ini dengan cara teknologi baharu,” ujarnya.

Dengan kemajuan teknologi yang lebih moden, jelas Abang Johari, penyelidik kini melihat potensi untuk meneruskan kajian pemuliharaan serta pembiakan ikan terubuk melalui pendekatan lebih saintifik.

“Ikan terubuk di Batang Lupar dengan ikan terubuk di Batang Lassa, di Rajang ada berlainan sedikit, malah ada juga yang menyebut bahawa ikan terubuk kita di sini mempunyai hubung kait dengan di ikan terubuk di Bangladesh.

“Ini kerana di Bangladesh juga mengeluarkan ikan terubuk. Jadi mungkin dengan peranti teknologi baharu ini kita boleh membuat kajian untuk membiakkan ikan terubuk supaya ia tidak pupus,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan