SERIAN, 18 Feb: Lebih 880,000 rakyat Sarawak layak menerima bantuan di bawah inisiatif Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang disalurkan ke S Pay Global secara berperingkat bermula hari ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM460 juta di bawah inisiatif ini.
“Kami prihatin terhadap kenaikan kos sara hidup yang memberi kesan kepada banyak keluarga dalam golongan B40 dan M40.
“Di bawah SKAS, kami menyasarkan 886,288 penerima yang layak berdasarkan data Lembaga Hasil Dalam Negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Persidangan Serian di sini, hari ini.
Menurutnya, kaedah melalui transaksi digital digunakan bagi memudahkan urusan pembelian barangan keperluan melalui e-dompet.
“Oleh sebab itu, kerajaan membantu melalui kaedah transaksi digital iaitu bantuan akan disalurkan melalui akaun S Pay Global.
“Ia juga bagi memudahkan urusan pembelian barangan keperluan. Penerima boleh membeli barangan keperluan menggunakan e-dompet,” katanya.