MIRI, 18 Feb: Masyarakat Iban diseru supaya menghidupkan semangat kejiranan dan kemesraan yang erat antara satu sama lain sama ada mereka yang tinggal di bandar atau rumah panjang.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, kehidupan bermasyarakat boleh memupuk persefahaman dan semangat kekitaan sekali gus tidak akan lenyap ditelan arus pembangunan moden.
“Kita dapat melihat dan merasai keakraban dan kemesraan penduduk di rumah panjang apabila musim perayaan dan program keramaian diadakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Sijil Lanjutan Ketua Kaum Sesi 2025/2026 kawasan Suai/Niah di sini, hari ini.
Dr Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena itu mengingatkan supaya masyarakat Iban yang menetap di bandar jangan melupakan adat, budaya dan tradisi yang telah diamalkan sejak turun-temurun.
“Sebab itu sekiranya ada masa terluang (cuti) mereka yang tinggal di bandar boleh balik menjenguk keluarga di rumah panjang.
“Mereka dapat melihat suasana kemesraan dan keharmonian yang mungkin jarang dilihat atau diamalkan di kawasan bandar,” tambahnya.
Katanya, hubungan silaturahim (kekeluargaan) yang erat dalam kalangan penduduk rumah panjang wajar menjadi contoh dan diamalkan di bandar serta akan menjadi ikutan generasi muda. – TVS