MIRI, 18 Feb: Sektor minyak sawit Sarawak terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negeri selain menyediakan peluang pekerjaan, memacu pembangunan lestari dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri ini.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata meskipun tahun lalu penuh dengan cabaran namun inovasi serta kerjasama berterusan telah membantu memperkukuh pertumbuhan industri sawit.
“Kita telah melalui pelbagai cabaran tetapi dengan kemampanan dan inovasi yang ada kita berjaya mengukuhkan industri ini. Permintaan terhadap minyak sawit yang dihasilkan secara mampan semakin meningkat. Oleh itu, kita perlu terus meningkatkan produktiviti serta memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya semasa berucap di Majlis Gala Makan Malam sempena Persidangan dan Pameran Pengurusan dan Teknologi Kelapa Sawit (POMtec) di sini, hari ini.
Tambah beliau, semangat perpaduan dan kemajuan perlu terus diterapkan dalam industri sawit Sarawak bagi memastikan ia berkembang ke tahap yang lebih tinggi.
“Persatuan Pemilik-Pemilik Ladang Kelapa Sawit Sarawak (SOPPOA) telah menetapkan penanda aras tinggi dalam penganjuran acara sebegini,” ujarnya.
Majlis turut dihadiri pemimpin industri, pemilik ladang, pekebun kecil, pekerja sektor sawit sekaligus mencerminkan kepentingan kerjasama dan semangat kekeluargaan dalam industri minyak sawit Sarawak – TVS