KUCHING, 18 Feb: Sebanyak 29 projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bakal dilaksanakan di Daerah Simunjan pada tahun ini, kata Awla Dris.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan itu mengumumkan khabar baik berkenaan selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan dan Penentuan Projek (JPPP) bagi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2025 di Bahagian Samarahan pada Isnin.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan antara usaha untuk memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan luar bandar termasuk Daerah Simunjan dilaksanakan secara berkesan dan memberi impak positif kepada masyarakat.
“Melalui mesyuarat ini, kita akan berbincang, menilai, dan memutuskan projek-projek yang akan dilaksanakan bagi tahun 2025,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Awla juga mendedahkan proses pemilihan projek pembangunan terlibat perlu dilakukan dengan teliti dan bijaksana demi kepentingan warga Simunjan.
“Selain itu agar projek yang dipilih benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, meningkatkan taraf hidup mereka, dan membantu mencapai matlamat pembangunan yang lebih mampan,” ujarnya.