SERIAN, 18 Feb: Sarawak merancang membangunkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) sebagai langkah menambah keupayaan bekalan elektrik.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, teknologi ini mampu menyimpan dan mengeluarkan tenaga sehingga 65 megawatt.
“Ada sebuah teknologi bateri baru yang dikenali sebagai Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri. Bateri ini boleh menyimpan elektrik. Ia disimpan di dalam kontena,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Peringkat Negeri Sarawak di Serian, hari ini.
Dengan teknologi BESS, menurut Abang Johari, Sarawak kini mempunyai keupayaan untuk menambah bekalan elektrik apabila sumber utama tenaga tidak mencukupi.
“Apabila bekalan elektrik tidak mencukupi, BESS dapat menyediakan elektrik yang disimpan dalam bateri. Ia seperti telefon kita yang apabila baterinya lemah, kita gunakan ‘power bank’ untuk menambah kuasa.
“Misalnya, jika terdapat kawasan luar bandar yang kekurangan elektrik, kita boleh membawa kontena ini dengan lori dan meletakkannya di satu tempat untuk menyediakan elektrik tambahan,” katanya.