KUCHING, 18 Feb: Rembus H2 Hub, yang menempatkan Loji Hidrogen Rembus, akan menjadi langkah pertama Sarawak menuju dekarbonisasi sistem pengangkutan awam, untuk menjadikan udara bandar lebih bersih dalam jangka panjang.
Apabila beroperasi sepenuhnya pada 2026, loji hidrogen dan stesen pengisian bahan bakar di Rembus yang dibina khusus akan menyokong operasi Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) untuk tiga laluan utama iaitu Kuching, Samarahan dan Santubong.
Semua laluan itu dirancang secara strategik untuk menghubungkan kawasan kediaman, komersial dan perindustrian dengan menggunakan kenderaan ‘Autonomous Rapid Transit’ (ART) serta bas-bas penumpang berkuasa hidrogen.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, berkata Loji Hidrogen Rembus berfungsi sebagai pemangkin perjalanan ‘Net Zero 2050’ Malaysia dan merupakan langkah pertama Sarawak dalam mengubah pengangkutan awamnya menjadi industri yang bersih.
“Ini hanyalah permulaan, dan saya percaya dengan SEDC Energy (SEDCE) di barisan hadapan perjalanan untuk Sarawak dan Malaysia, ia baru sahaja bermula,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Hazland berkata, SEDCE juga bertanggungjawab membina rantaian nilai hidrogen untuk Sarawak, dengan Loji Hidrogen Rembus menjadi salah satu pencapaian utamanya.
Setelah siap, katanya, loji itu akan menyokong fasa pertama KUTS, yang terdiri daripada 38 ART dan 55 bas hydrogen, untuk beroperasi di laluan pertama.
“Sementara KUTS mengembangkan operasinya di seluruh Kuching, SEDCE juga sedang membina rangkaian Stesen Multi Bahan Api (MFS) di bawah jenama PETROS sebagai simbol penyertaan Sarawak dalam perniagaan runcit minyak dan gas.
“Stesen Multi Bahan Api (MFS) utama ini unik untuk Sarawak kerana ini adalah yang pertama di rantau ini, yang bukan sahaja menyediakan bahan api konvensional tetapi juga pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan pengisian hidrogen,” katanya.
Menurut Dr. Hazland, MFS utama pertama mula beroperasi di Darul Hana pada 2022, manakala yang kedua di MJC Batu Kawa dijangka siap menjelang suku kedua tahun ini.
Katanya, Darul Hana adalah MFS pertama yang dilengkapi dengan pengeluaran hidrogen di tapak, dengan kapasiti 150 kilogram sehari.
“Ini juga akan menyokong bekalan hidrogen yang akan digunakan di MJC Batu Kawa. Empat lagi MFS sedang dalam perancangan di Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Di samping MFS utama ini, SEDCE juga menyebarkan jenama PETROS ke daerah-daerah lain, seperti Sibu, Kanowit, Daro, Matu, Sungai Asap dan Bintulu, apabila MFS juga menyokong usaha dekarbonisasi dengan menyediakan kemudahan pengecasan EV di tapak,” ujarnya.
Beliau berkata usaha jangka panjang itu juga akan mewujudkan permintaan bagi lebih banyak kenderaan EV apabila lebih banyak MFS beroperasi secara berperingkat-peringkat.
“MFS lain akan terletak 200 kilometer antara satu sama lain kerana ini akan menyokong fasa seterusnya dalam usaha dekarbonisasi Sarawak dengan kenderaan kerajaan.
“SEDCE juga bekerjasama rapat dengan rakan sejawatannya dari Jepun melalui Projek H2ornbill, yang bertujuan menggunakan hidrogen hijau yang dihasilkan di Bintulu untuk dieksport dan digunakan di Jepun bagi dekarbonisasi industri pembuatan keluli mereka.
“Manakala dengan rakan sejawatan dari Korea Selatan dalam Projek H2biscus, hidrogen hijau akan dieksport dan digunakan untuk menjana grid tenaga mereka,” katanya.
Dr. Hazland menjelaskan, kedua-dua projek besar itu sedang berjalan dengan baik.
Apabila ia beroperasi sepenuhnya, ia akan memperkukuhkan kedudukan Sarawak dalam mempelopori usaha dekarbonisasi bukan sahaja di rantau ini tetapi juga Asia Pasifik bersama dua rakan antarabangsa.
Sarawak melalui SEDCE, katanya, juga sedang meneroka biofuel bagi Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF).
“SAF dihasilkan dengan memperkenalkan hidrogen dalam proses pembuatan SAF, menjadikan pengeluaran SAF sebahagian daripada rantaian nilai hidrogen untuk Sarawak.
“Pada 2024, SEDCE telah memperuntukkan lima ekar tanah bagi pengeluaran bio-alga, dan pada masa yang sama, sedang meneroka bahan mentah lain untuk SAF,” ujarnya.
Loji Hidrogen Rembus akan menjadi sebahagian daripada Rembus Hydrogen Hub di Samarahan.
Loji yang dibina khusus untuk KUTS ini dijangka akan mula beroperasi pada suku kedua 2026, dan akan menjadi langkah utama pertama dalam usaha dekarbonisasi Sarawak.