KUALA LUMPUR, 18 Feb: Polis mengesahkan suspek kes tembak dalam sebuah pusat membeli belah di Setia City Mall Shah Alam baru – baru ini mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan sepasukan polis awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussain Omar Khan berkata, sebelum itu sepasukan anggotanya menyerbu sebuah hotel di Pulau Ketam untuk mengesan suspek.
Jelasnya, suspek yang merupakan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an dipercayai telah bersembunyi di hotel tersebut selama dua hari.
“Pihak polis juga menemui dua pucuk senjata api berisi peluru bersama suspek tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Hussain Omar berkata suspek memiliki sembilan rekod jenayah termasuk satu kes jenayah dadah dan tujuh kes samun.
Dalam kejadian pada 8 Februari lalu, suspek dilaporkan telah melepaskan empat tembakan terhadap seorang lelaki warga asing yang merupakan tukang cuci di pusat beli belah di Setia Alam. – TVS