KUCHING, 18 Feb: Transformasi digital perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Sarawak terus diperkasa sebagai sebahagian daripada strategi kerajaan Sarawak untuk merealisasikan agenda Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menurut Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, pemodenan PKS melalui teknologi digital bukan sahaja mempercepat pertumbuhan ekonomi negeri tetapi juga menyokong sasaran Sarawak untuk mencapai RM282 bilion Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) menjelang 2030.
“PCDS 2030 menetapkan hala tuju Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Untuk mencapai sasaran ini, kita bukan sahaja bergantung kepada pelaburan asing (FDI), tetapi juga perlu memperkukuh pelaburan langsung domestik (DDI).
“PKS yang lebih moden dan berdaya saing akan membantu menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya pada sidang media Seminar Transformasi Digital PKS di sini, hari ini.
Sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Sarawak, PKS perlu diberi sokongan penuh untuk meningkatkan daya saing mereka, termasuk dalam sektor pertanian, pembuatan, perkhidmatan, serta industri baharu seperti ekonomi hidrogen, penyimpanan karbon, biokimia dan aeroangkasa.
“Jangan tunggu sehingga industri ini berkembang sepenuhnya. Kita perlu belajar dan bersedia sekarang untuk tidak ketinggalan,” tambahnya.
Sejak perjanjian persefahaman (MoA) dengan Kintone dari Jepun tahun lalu, Sarawak telah mempergiat usaha digitalisasi PKS, selari dengan fokus PCDS 2030 terhadap ekonomi inovasi dan keterangkuman digital.
“Sasaran kami adalah memastikan 20 peratus daripada PKS di Sarawak mampu meningkatkan perolehan tahunan mereka kepada RM10 bilion menjelang tahun depan. Menjelang 2030, angka ini diharapkan meningkat kepada RM100 bilion,” ujarnya.
Kerajaan negeri komited untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mempercepatkan transformasi digital PKS, sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan dan menarik lebih banyak pelaburan domestik serta antarabangsa ke Sarawak. – TVS