KUALA LUMPUR, 18 Feb: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menegaskan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu seperti Akta Anti Diskriminasi Kaum buat masa ini.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata ini kerana undang -undang sedia ada sudah memadai dengan kementeriannya komited untuk terus meningkatkan penguatkuasaan undang-undang itu.
Namun jelas Aaron sekiranya wujud keadaan yang mendesak dengan kerajaan berpandangan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula, kementeriannya akan menyokong penuh hasrat tersebut.
“Pada masa ini, undang-undang sedia ada sudah memadai dalam memastikan hubungan antara kaum terpelihara.
“Sesiapa yang dengan sengaja melakukan apa-apa perbuatan, mencetuskan atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang menggugat perpaduan kaum dan agama boleh disiasat dan didakwa, antara lain, di bawah akta-akta sedia ada,” katanya di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (Pakatan Harapan- Bagan) yang ingin tahu sama ada Akta Anti Diskriminasi Kaum akan digubal untuk membendung gejala perkauman yang kian melarat dalam kalangan pemimpin parti politik dan individu yang bersikap ekstremis.
Mengulas mengenai kejadian melibatkan perkauman yang tular berlaku baru-baru ini melibatkan seorang penjual jagung berbangsa Melayu, Aaron berkata pihaknya telah turun padang bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Berhubung insiden melibatkan seorang penjaja di Sepang yang enggan menjual jagung kepada kaum India dengan meletakkan papan tanda berunsur perkauman, KPN telah mengerakkan anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai orang tengah dalam menyelesaikan masalah tersebut.
“Peranan KRT dalam menyelesaikan polemik ini turut memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan KRT sebagai ejen perpaduan dan penyelesai masalah. Ini juga menekankan pentingnya kerjasama antara pemimpin komuniti dan pihak berkuasa untuk memastikan suasana yang harmoni dan aman terpelihara,” katanya.
Aaron menyeru agar setiap masyarakat perlu berusaha memastikan bahawa setiap perkataan dan tindakan tidak menimbulkan perasaan tidak selesa, ketegangan, atau salah faham dalam kalangan penganut agama, budaya, dan kaum yang berbeza. – TVS