KUALA LUMPUR, 18 Feb: Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) akan membuka pejabatnya di setiap zon bagi meningkatkan lagi aktiviti serbuan berdasarkan aduan pelanggaran data dan insiden siber.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, antara yang diberi perhatian termasuk syarikat dan organisasi yang memproses data peribadi dengan transaksi komersial.
Jelas beliau sebagai permulaan pejabat zon akan dibuka di Sabah dan Sarawak sebelum diteruskan di kawasan lain.
“(Ini) bagi memudahcara penyelarasan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti serbuan di negeri-negeri di setiap zon yang berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini,
Beliau menjawab soalan Fathul Huzir Ayob (Perikatan Nasional – Gerik) yang ingin tahu tindakan kementerian dalam menilai dan menambah baik undang-undang keselamatan data peribadi yang beharu bagi menangani krisis keselamatan global.
Dalam pada itu, Gobind berkata, aktiviti pemeriksaan sistem data peribadi di bawah Seksyen 101, Akta 709 pada tahun ini akan ditingkatkan sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding 2024.
“Selain aktiviti pemeriksaan di premis syarikat dan organisasi, Pesuruhjaya PDP juga akan meningkatkan lagi aktiviti penilaian kendiri secara atas talian bagi meningkatkan pematuhan syarikat dan organisasi dalam memproses data peribadi,” katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan kementerian sedang melaksanakan pembangunan Projek Keupayaan Automasi Sokongan Perisikan Bagi Pengurusan Kes Ketirisan Data Peribadi.
“(Ini merupakan) sistem perisikan pertama di Malaysia yang bertujuan untuk memantau aktiviti penjualan data peribadi di laman gelap.
“Projek ini dibangunkan berikutan peningkatan kebimbangan terhadap isu penjualan dan transaksi data peribadi melalui platform beli-belah dalam talian termasuk laman sesawang gelap. Projek ini akan dilancarkan pada Jun 2025,” katanya. -TVS