KUALA LUMPUR, 18 Feb: Penebusan sukuk 2025 dan pengambilan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diserahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) dijangka akan dimuktamadkan pada suku pertama 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kerajaan optimis untuk memastikan kelancaran penyerahan semula aset-aset TH daripada syarikat tujuan khas (SPV) berkenaan bagi mengelakkan implikasi kepada kedudukan kewangan TH dan pendeposit.
“TH masih menelitii pilihan terbaik dalam perbincangan bersama pihak Kementerian Kewangan (MOF) dan UJSB.
“Langkah ini bertujuan memberi manfaat kepada pendeposit amnya dan TH khususnya,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Na’im menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (Perikatan Nasional -Bagan Serai) yang ingin tahu cadangan mengembalikan semula aset TH yang diserahkan kepada USJB, serta pelaburan yang dilakukan TH.
Untuk rekod, pada September 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, TH telah memulakan perbincangan bersama MOF dan UJSB, melibatkan isu berbangkit iaitu penebusan sukuk tahun 2025 dan kesan ke atas nilai aset UJSB. – TVS