KUALA LUMPUR, 18 Feb: Parameter utama berhubung cadangan pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura oleh sektor swasta sedang dimuktamadkan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, parameter itu seterusnya akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan persetujuan.
“Pada fasa seterusnya, perincian mengenai butiran konsortium yang telah disenarai pendek, kaedah pembiayaan dan kajian model projek akan diteliti iaitu melalui proses ‘Request For Proposal’(RFP),” kata MOT menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat, hari ini.
Muhammad Islahuddin Abas (Perikatan Nasional- Mersing) sebelum ini ingin tahu status terkini projek kereta api HSR ekoran keputusan Malaysian Resources Corporation Bhd yang menarik diri daripada konsortium yang diketuai Berjaya Rail Sdn Bhd.
Menerusi jawapan lisan itu, MOT menjelaskan MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) telah melaksanakan penilaian terhadap tujuh cadangan konsep yang telah diterima daripada firma/konsortium tempatan dan antarabangsa melalui proses Permintaan Maklumat (RFI). – TVS