KUALA LUMPUR, 18 Feb: Malaysia merekodkan nilai kerugian lebih RM1.5 bilion melibatkan penipuan kewangan secara dalam talian pada tahun lepas.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkam, sebanyak 35,368 kes jenayah siber turut direkodkan yang menyaksikan peningkatan sebanyak 2.53 peratus berbanding 2023.
Pada 2023, sebanyak 34,495 kes dilaporkqn adengan nilai kerugian melebih RM1.2bilion.
“KDN menjangkakan bilangan kes dan kerugian adalah lebih tinggi daripada statistik tersebut mengambil kira golongan mangsa yang tidak membuat laporan kepada pihak polis,” kata kementerian menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Terdahulu, V. Sivakumar (Pakatan Harapan -Batu Gajah) meminta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan perkembangan terkini mengenai jenayah siber dan penipuan dalam talian serta langkah bersepadu yang telah dilaksanakan untuk membanteras sindiket antarabangsa yang semakin berkembang termasuk penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.
Sementara itu KDN memaklumkan bagi mengekang jenayah penipuan dalam talian, pelbagai usaha telah dijalankan PDRM termasuklah dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan seterusnya menjalankan pendakwaan kepada individu terlibat.
“Pelbagai langkah pengukuhan telah diambil, antaranya strategi dan kerjasama antarabangsa, usaha peningkatan kesedaran dan peningkatan dan perwujudan unit khas,” jelas KDN. – TVS