Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Foto Nadim Bokhari (TVS)

Abang Johari zahir terima kasih, PM perakui Sarawak ceburi industri minyak dan gas

ByAkma Salleh

KUCHING, 18 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memperakui aspirasi Sarawak untuk menceburi industri minyak dan gas di wilayah ini.

Pada sesi penerangan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Anwar menegaskan hasrat Sarawak itu telah termaktub dalam Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan)(DGO), yang berkuat kuasa 1 Mac 2025.

“Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) adalah pengumpul gas di Sarawak; dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO 2016) adalah undang-undang yang membolehkan Sarawak aktif menyertai industri minyak dan gas di Sarawak.

“Malah, PETROS telah dilantik sebagai Pengumpul Gas di Sarawak di bawah seksyen 7A DGO 2016 dan akan menjalankan fungsinya seperti yang tercatat dalam DGO 2016 dan mengikut arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru tegas Abang Johari, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus mempertahankan hak dan perlindungan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri serta yang diberikan kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan Sarawak akan memastikan bahawa pelaksanaan kuasa perundangan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah item 8(j) Senarai I (Senarai Persekutuan) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan mengenai pembangunan mineral, perlombongan, minyak dan lapangan minyak adalah tertakluk kepada Item 2(c) Senarai II (Senarai Negeri) yang memberikan kuasa kepada Negeri berkenaan lesen prospekting, pajakan perlombongan dan sijil.

“Selain itu, kuasa perundangan mengenai elektrik dan pengagihan gas yang diberikan kepada Dewan Undangan Negeri oleh Perintah Kuasa Perundangan Borneo 1963, yang dibuat di bawah Artikel 95(1)(i) Perlembagaan Persekutuan, seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) pada tahun 1962, akan dijaga dengan teguh dan dipatuhi oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan