SERIAN, 18 Feb: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meyakini bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) akan meringankan beban rakyat dalam kalangan berpendapatan rendah yang terjejas akibat peningkatan kos sara hidup.
“Kerajaan Sarawak memutuskan untuk memberi bantuan kepada masyarakat yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup. Salah satu cara yang digunakan untuk membantu rakyat adalah melalui kaedah digitalisasi.
“Apabila rakyat ingin membeli barangan keperluan asas daripada kedai runcit, harga barangan tersebut akan dipotong melalui S Pay Global.
“Ini bagi memudahkan rakyat untuk membeli keperluan mereka seperti beras, minyak masak, gula, teh dan barang-barang keperluan lain,” kata beliau.
Abang Johari berkata demikian pada pada sidang media Majlis Pelancaran Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) Peringkat Negeri Sarawak di Serian, hari ini.
Terdahulu, Abang Johari mengumumkan bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) disalurkan ke dalam aplikasi S Pay Global penerima bermula hari ini.
Menurut beliau seramai 564,099 penerima SKAS atau 63.6 peratus daripada jumlah yang layak telah berjaya mendaftar dengan S Pay Global sehingga hari ini.
“Berdasarkan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kita telah berjaya mendaftarkan lebih 63.6 peratus penerima SKAS, iaitu seramai 564,099 orang.
“Namun, bagi mereka yang masih belum mendaftar, saya menyeru agar mereka segera berbuat demikian supaya dapat menerima manfaat daripada bantuan ini,” kata beliau.
Untuk rekod, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan sesi libat urus bermula 18 Januari hingga 9 Mac 2025 di 98 lokasi seluruh Sarawak bagi membantu penerima SKAS mendaftar dengan S Pay Global agar mereka bersedia menerima SKAS melalui telefon bimbit masing-masing.-TVS