SERIAN, 18 Feb: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meminta agar diadakan pertandingan mereka cipta ‘livery’ (hiasan) pada badan pesawat AirBorneo.
Menurutnya, pertandingan ini diadakan susulan sambutan daripada rakyat Sarawak yang telah berkongsi pelbagai idea livery untuk pesawat AirBorneo di media sosial.
“Kalau kita lihat di media sosial, anda boleh melihat terdapat banyak reka bentuk pesawat AirBorneo. Ada warna merah, hitam dan ada yang bercampur warna. Pelbagai rekaan menarik yang dipaparkan di media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran SKAS Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Serian, hari ini.
Menurutnya, pertandingan ini membolehkan orang ramai memberikan pandangan tentang hiasan pesawat AirBorneo.
Sementara itu, Abang Johari memaklumkan bahawa AirBorneo akan menawarkan penerbangan kos rendah, khususnya untuk pelajar yang belajar di luar Sarawak.
“Susulan daripada ekonomi kita semakin kukuh, kita berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan yang berpatutan agar perjalanan dapat dilakukan dengan harga tiket yang lebih murah.
“Semasa Lan Berambeh, pelajar Sarawak yang belajar jauh dari kampung mereka menyuarakan kebimbangan mengenai harga tiket yang tinggi dan penerbangan yang sering penuh.
“Saya perlu mencari penyelesaian untuk membantu mereka,” katanya.