SERIAN, 18 Feb: Seramai 60,897 orang di Bahagian Serian layak menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) yang dilancarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, insiatif ini sangat bermakna bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Saya bagi pihak penerima SKAS Bahagian Serian mengucapkan jutaan terima kasih kepada Premier Sarawak atas bantuan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran SKAS Peringkat Negeri Sarawak di Pusat Persidangan Serian, Serian di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak yang komited dalam melaksanakan pembangunan di Serian.
Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat turut menyeru semua pihak dan rakyat di Serian agar bersama-sama membantu melaksanakan dasar serta strategi kepimpinan Abang Johari.
“Program dan projek di bawah agensi kita kini berjalan dengan lancar. Saya dan rakan-rakan di Serian akan terus menyokong kepimpinan Premier Sarawak untuk kesinambungan pembangunan di Bahagian Serian,” katanya.