Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang ketika menyampaikan bantuan persekolahan kepada para pelajar pada program tahunan ‘Back to School’ di Miri, pada Ahad. Foto Persatuan Kebajikan Prihatin Miri (WOW). Foto TVS

WOW Prihatin bantu pelajar kurang mampu di Miri

ByTasha Jenkins Likan Anak Siti

MIRI, 17 Feb: Persatuan Kebajikan Prihatin Miri (WOW) mengadakan program bantuan persekolahan yang memberi manfaat kepada 99 pelajar kurang berkemampuan dari pelbagai sekolah di sekitar Miri.

Naib Pengerusi Persatuan Kebajikan Prihatin Miri (WOW), Fitrina Raji berkata, seramai 54 pelajar sekolah rendah dan 45 pelajar sekolah menengah menerima bantuan tersebut.

“Bantuan ini diberikan kepada pelajar dari tahun 1 hingga tingkatan 5 bagi membantu persediaan mereka untuk sesi persekolahan 2025. Dana program ini diperoleh melalui sumbangan daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO)dan individu prihatin.

“Program ini turut mendapatkan kerjasama daripada Seksyen Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pujut.

“Jumlah dana yang digunakan untuk program ini dianggarkan hampir RM10,000, bergantung kepada jumlah pelajar serta keperluan yang disediakan,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.

Program tahun ini dirasmikan oleh Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang yang turut menyampaikan sendiri bantuan kepada para pelajar.

Menurut Fitrina, tahun ini bantuan yang disediakan meliputi kelengkapan pakaian sekolah yang lengkap termasuk kasut dan tudung bagi pelajar perempuan memerlukan.

“Berbanding tahun sebelumnya yang mana pelajar menerima alat tulis dan pakaian seragam penuh, peningkatan harga barang sekolah menyebabkan fokus bantuan tahun ini tertumpu kepada pakaian dan kasut sahaja. Namun, jumlah penerima bantuan meningkat daripada 50 orang pada tahun lalu kepada 99 pelajar tahun ini,” ujarnya.

Beliau berkata, reaksi ibu bapa terhadap program tersebut sangat positif dengan ramai yang menyatakan rasa syukur kerana bantuan tersebut meringankan beban kewangan mereka terutama dengan kenaikan kos barangan sekolah.

“Pelajar yang layak menerima bantuan ini adalah dari keluarga berpendapatan rendah, anak-anak daripada keluarga ibu bapa tunggal serta mereka yang dijaga oleh ahli keluarga lain kerana kehilangan ibu bapa. Pemilihan penerima dibuat secara teliti sejak tiga tahun lalu bagi memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” jelasnya.

Menurutnya, inspirasi inisiatif tersebut datang daripada pengalaman beliau sendiri sebagai seorang ibu tunggal yang memahami kesukaran menyediakan kelengkapan sekolah setiap tahun.

“WOW Prihatin percaya bahawa pendidikan adalah asas kepada masa depan yang cerah dan cabaran ekonomi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan dengan penuh keyakinan,” kata Fitrina.

Setakat ini, WOW Prihatin mempunyai seramai 54 ahli jawatankuasa serta 315 ahli sukarelawan yang berdaftar.

Bagi organisasi atau individu yang berminat untuk bekerjasama dalam program akan datang, sila hubungi Fitrina Raji di 014-585 2223. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan