KUCHING, 17 Feb: Sektor bekalan air di Sarawak sedang mengalami transformasi besar, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak melalui Pelan Induk Bekalan Air Negeri Sarawak memperuntukkan pelaburan signifikan untuk meningkatkan infrastruktur terutama di luar bandar.
“Antara projek utama yang sedang dilaksanakan ternasuk pembinaan loji rawatan air baharu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sukan Bekalan Air Sarawak (SBAS) 2025 di sini, hari ini.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, projek penggantian saluran paip baharu di seluruh Sarawak juga sedang dilakukan bagi memastikan semua kawasan termasuk luar bandar mendapat bekalan stabil.
“Di samping itu, penggunaan teknologi moden dan sistem pintar untuk mengesan kebocoran, meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pembaziran air juga akan dilaksanakan,” ujarnya.
Menurutnya, kesemua inisiatif tersebut hanya akan berjaya dengan komitmen dan kerjasama daripada seluruh tenaga kerja dalam industri berkenaan.
Mengulas mengenai SBAS, Dr. Abdul Rahman melahirkan keyakinan, semangat berpasukan yang ditunjukkan dalam sukan mencerminkan dedikasi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.
“Saya berharap kejohanan ini dapat menjadi acara dwitahunan yang dinanti-nantikan oleh semua. Selain bersaing secara sihat dalam pelbagai acara sukan, saya juga ingin melihat lebih banyak penyertaan daripada pelbagai peringkat supaya menjadi medan perpaduan untuk semua dalam industri bekalan air,” jelasnya.
Hadir sama Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.-TVS