KUCHING, 17 Feb: Sarawak tidak terkecuali dalam menghadapi masalah ketidakhadiran pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, terdapat murid yang tidak menghadiri peperiksaan bertulis SPM dan kebanyakkannya adalah disebabkan mereka bekerja untuk menyara hidup keluarga masing-masing.
“Ada intervensi yang telah dibuat oleh pihak sekolah dalam kalangan guru. Pihak guru telah pergi ke rumah pelajar ini untuk menjemput mereka datang sekolah bagi menduduki peperiksaan, jadi apabila mereka sendiri membuat pilihan untuk tidak mahu datang walaupun telah dipujuk pelbagai cara kita tak dapat buat apa-apa.
“Kita berharap ibu bapa membantu guru bagi menasihatkan anak mereka hadir ke sekolah untuk menduduki peperiksaan. Kalau pihak guru sahaja yang berkeras mungkin kita tak berjaya memastikan murid untuk duduki peperiksaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada hari pertama persekolahan sesi 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Haji Baki hari ini.
Menurutnya, daripada awal tahun, pihak sekolah telah mengenal pasti murid yang kerap tidak hadir ke sekolah.
Tambahnya, terdapat juga murid yang tidak hadir disebabkan faktor kesihatan seperti sakit berpanjangan dan ia tidak dapat dielakkan.
“Namun kita akan memberikan peluang kepada mereka menduduki peperiksaan pada masa akan datang sekiranya mereka memohon,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Perancangan) Pejabat Pendidikan Daerah Padawan, Kastamy Mudin, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah) Pejabat Pendidikan Daerah Padawan, Winston Dominic Ritay, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pembangunan Murid) Pejabat Pendidikan Daerah Padawan, Bolkiah Ali dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Jalan Haji Baki, Mohd Aliff Najmi Abdullah. – TVS