KUCHING, 17 Feb : Sarawak semakin menarik minat pelabur antarabangsa terutama yang ingin meneroka pelbagai sektor di rantau ini.
Timbalan Pengerusi Commonwealth Enterprise and Investment Council (CWEIC), Lord Hugo Swire berkata, ini menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti pelaburan terhadap landskap ekonomi dinamik Sarawak.
“Terdapat banyak pelabur berminat terhadap peluang pelaburan di Sarawak.
“Setakat ini, kami mempunyai sejumlah 140 ahli , antara mereka yang ingin meneroka peluang kerjasama di Sarawak kerana saya percaya negeri ini sedang menuju kemajuan ketara dalam pelbagai sektor khususnya tenaga boleh diperbaharui, minyak dan gas, pendidikan serta keselamatan siber,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di sini, hari ini.
Menurutnya, beliau turut memaklumkan satu satu delegasi perniagaan dari Sarawak dijangka berkunjung ke United Kingdom semasa Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan Komanwel (CWEIC) bagi mempamerkan keupayaan mereka serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.
“Kerajaan Sarawak mempunyai visi yang besar dan ini adalah masa yang tepat bagi pelabur untuk terlibat dalam inisiatif yang progresif,” ujarnya.
Sidang Kemuncak Perdagangan dan Pelaburan Komanwel (CWEIC) yang diadakan setiap tahun akan berlangsung di Mansion House, City of London pada April 2025.
Dengan reputasi Sarawak yang semakin berkembang sebagai hab pelaburan utama, penyertaan negeri ini dijangka dapat mengukuhkan lagi perdagangan dan pembangunan antarabangsa.
Turut hadir dalam kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Dato Sri Naroden Majais serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) InvestSarawak, Timothy Ong.-TVS