KUALA LUMPUR, 17 Feb: Nilai-nilai perpaduan yang diperjuangkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj harus terus disemarakkan dan diperkukuhkan.
Menurut Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aaron Ago Dagang, cabaran yang rakyat Malaysia hadapi hari ini, termasuk perbezaan fahaman politik, isu sosial, serta ancaman kepada keharmonian kaum, memerlukan semua bersatu dan mengamalkan semangat kebersamaan.
“Kita harus mencontohi kepimpinan dan wawasan Tunku dengan memastikan prinsip Rukun Negara sentiasa dijadikan panduan dalam kehidupan seharian kita.
“Prinsip-prinsip ini bukan sekadar slogan, tetapi menjadi asas yang mengikat kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Memperingati Yang Teramat Mulia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di sini, hari ini.
Menurutnya, Tunku Abdul Rahman bukan sahaja dikenali sebagai Perdana Menteri pertama Malaysia, tetapi beliau juga merupakan lambang keharmonian dan perpaduan dalam negara kita.
Kepimpinannya yang berasaskan toleransi, keadilan dan kasih sayang telah membentuk asas kukuh kepada perpaduan rakyat Malaysia pelbagai kaum, agama dan budaya.
Jelasnya, Almarhum sentiasa percaya bahawa kemakmuran sesebuah negara bergantung kepada kesepaduan rakyatnya.
“Oleh itu, beliau berusaha mengukuhkan hubungan antara kaum dan mewujudkan dasar-dasar yang memastikan setiap rakyat mendapat layanan yang adil dan saksama,” katanya.
Kepimpinan Tunku terserlah dalam pelbagai aspek, termasuk dalam usaha membentuk sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
“Kejayaan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 adalah bukti kecekapan dan kebijaksanaan beliau dalam berunding dengan pihak British serta menyatukan masyarakat pelbagai kaum untuk mencapai cita-cita bersama,” ujarnya.