KUCHING, 17 Feb: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan terus mempertahankan empat perkara berkaitan hak Sarawak yang tidak boleh sama sekali dikompromi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, hak tersebut adalah kuasa autonomi dan hak imigresen negeri serta hak negeri untuk menguatkuasakan cukai.
Perkara itu turut merangkumi perlindungan hak negeri termasuk pelantar benua serta kedaulatan negeri terhadap sumber asli di dasar laut dan bawah tanah.
”Perlindungan dan kedaulatan ini adalah hak-hak yang dijamin dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka tiada mana-mana pihak yang boleh mempersoalkan dan melanggar hak-hak ini,” katanya.
Awang Tengah yang juga Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung Ke-16 PBB di sini pada Ahad.
Beliau menambah, ini merupakan perjuangan yang telah dipelopori oleh pemimpin-pemimpin Sarawak yang terdahulu seperti mendiang Tun Datuk Patinggi Jugah Barieng.
”Mendiang Tun Jugah pernah mengingatkan kita, ‘Anang Malaysia Baka Tebu, Manis Ba Pun, Tabar Ba Ujung’. Inilah yang kita akan terus perjuangkan. Tanpa Perjanjian Malaysia (MA63), tiadalah Malaysia,” ujarnya.