KUCHING, 17 Feb: Pertimbangkan pemberian Visa K atau pemastautin tetap kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pesara polis berasal dari Semenanjung Malaysia yang berkahwin dengan warga Sarawak dan telah menetap lama di wilayah ini.
Itu antara cadangan dikemukakan Pengerusi NGO Antarabangsa merangkap Profesor Adjung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Datuk Dr Mustapha Ahmad S. Marican semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
“Mereka ini ada menyumbang jasa dan bakti semasa berkhidmat di Sarawak diberi kelonggaran untuk mendapatkan keistimewaan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau turut menyentuh perkara berkaitan dengan pingat khas untuk veteran ATM dan pesara polis yang pernah berkhidmat pada zaman darurat pada era komunis sebagai pengiktirafan jasa dan pengorbanan mereka.
“Kita sedia maklum ketika zaman darurat berlaku, ia melibatkan operasi besar-besaran oleh pasukan keselamatan untuk menumpaskan pemberontakan komunis,” katanya.
Turut disentuh, isu terdapat sebahagian bekas veteran ATM dan pesara polis yang sehingga kini belum memiliki rumah kediaman atau tempat tinggal yang selesa.
Beliau berharap Kerajaan Sarawak dapat membantu mereka memiliki rumah kediaman atau tempat tinggal yang selesa agar mereka dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik.
“Diharapkan juga agar Kerajaan Sarawak dapat memberi kelonggaran syarat yang dirasakan sesuai bagi memudahkan mereka untuk memiliki rumah sendiri. Termasuklah dari segi permohonan, pembayaran, pemilikan dan sebagainya,” katanya.