Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nam Cheong Dockyard, Leong Seng Kit ketika ditemui TVS semasa lawatan berkumpulan ke Nam Cheong Dockyard, hari ini. Foto TVS

Nam Cheong Dockyard sedia bangunkan kapal berteknologi hijau

ByVanessa Enjop

MIRI, 17 Feb: Nam Cheong Dockyard bersedia untuk membangunkan kapal berteknologi hijau termasuk kapal elektrik (EV) bagi memenuhi keperluan industri maritim dan pelabuhan di masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nam Cheong Dockyard, Leong Seng Kit berkata, syarikat itu bukan sahaja membina kapal tetapi juga mengendalikan 34 kapal sokongan luar pesisir yang beroperasi di perairan Malaysia dengan 60 peratus daripadanya berada di Sarawak.

“Nam Cheong Dockyard adalah sebuah galangan kapal, jadi apa yang kami lakukan adalah membina kapal untuk industri maritim. Sepanjang dua dekad yang lalu, kami telah memberi tumpuan kepada industri minyak dan gas.

“Jadi, kami tidak membina kapal secara langsung untuk pelabuhan, tetapi kapal-kapal ini juga boleh digunakan untuk pembinaan dan pembangunan infrastruktur pelabuhan,” katanya ketika ditemui TVS sempena lawatan berkumpulan ke Nam Cheong Dockyard di sini, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan inovasi dalam teknologi kapal rendah karbon sejajar dengan trend global yang semakin menekankan kelestarian alam sekitar.

“Keupayaan kami dalam membangunkan generasi baharu kapal dengan pengurangan pelepasan karbon serta kapal hibrid menjadikan kami antara syarikat yang bersedia untuk memenuhi keperluan pelabuhan pada masa hadapan.

“Pada masa ini, pelabuhan masih kekurangan kapal elektrik (EV), jadi saya percaya bahawa apabila pelabuhan bersedia, syarikat seperti kami akan mampu membina kapal EV ini untuk mereka.

“Saya juga yakin bahawa pematuhan terhadap penggunaan kapal berkuasa bateri, berbanding diesel, akan menjadi satu keperluan untuk pelabuhan pada masa akan datang,” ujarnya.

Menurutnya, Malaysia kini berada dalam kedudukan kukuh dalam industri pembinaan kapal global terutamanya bagi sektor minyak dan gas luar pesisir.

“Dalam persatuan pembina kapal yang saya sertai, kami telah menjalankan penyelidikan bersama VT, dan hasilnya menunjukkan bahawa Malaysia sebenarnya berada dalam kelompok 10 teratas dunia dalam industri pembinaan kapal untuk sektor minyak dan gas.

“Dengan kelebihan ini, kami yakin bahawa pada masa hadapan, kapal-kapal untuk pembinaan dan penyelenggaraan luar pesisir boleh dibina bukan sahaja untuk Miri atau Malaysia, tetapi juga untuk pasaran global,” jelasnya.

Dengan kemajuan teknologi dan keupayaan syarikat pembinaan kapal tempatan seperti Nam Cheong Dockyard, beliau optimis Malaysia khususnya Sarawak mampu menjadi hab penting dalam industri maritim yang lebih mesra alam di masa depan.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan