KUCHING, 17 Feb: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus melaksanakan langkah proakif dalam menangani gejala buli yang sering berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli menekankan pentingnya peranan semua pihak antara guru dan ibu bapa dalam memastikan hal-hal yangberkaitan dengan pelajar ditangani secara holistik.
Menurutnya, salah satu langkah yang diambil ketika ini dengan mencipta suasana sekolah yang lebih menyeronokkan dan ceria bagi memastikan murid tidak terjebak dalam gejala buli.
“Kita nak elak gejala buli dalam kalangan murid kerana sebelum ini kita pernah mendengar insiden buli dalam kalangan murid. KPM dalam usaha untuk menghapuskan gejala buli dalam kalangan murid.
“Justeru itu, kita menggalakkan penglibatan ibu bapa dan pihak komuniti untuk bersama-sama dalam aktiviti dan program sekolah bagi membantu guru-guru menangani beberapa isu yang melibatkan murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir ke Sekolah Kebangsaan Jalan Haji Baki bagi pembukaan hari pertama sekolah bagi sesi 2025/2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat lima sekolah di Sarawak tidak dapat beroperasi pada hari ini akibat bencana banjir selain perlu melaksanakan kerja pembersihan.
“Sebuah sekolah kita di SK Ulu Kabo, Saratok terputus jambatan akibat banjir deras yang melanda dan murid-murid tidak ada akses untuk ke sekolah.
“Ini kerana, jambatan tersebut merupakan akses utama mereka untuk melalui sungai. Kita juga dalam usaha mendapatkan bantuan daripada pihak tentera dan ibu bapa untuk kerja-kerja gotong-royong membina titian sementara,” ujarnya.
Empat lagi sekolah yang terjejas iaitu SK Kg Klid Plajau, Dalat, SK St Luke Ng Baoh, Dalat, SK Kuala Kenyana, Mukah dan SK Kuala Muput, Tatau/ Sebauh.
Kata Omar, pihaknya juga mengenal pasti kerosakan yang dilaporkan dan menurunkan peruntukan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi membuat perolehan terutamanya kerusi meja untuk kegunaan pelajar.
Pada masa sama katanya, pihaknya juga turut melaksanakan kerja membaik pulih dari semasa ke semasa.
Namun demikian, kata Omar, bagi lima sekolah yang tidak dapat beroperasi itu, guru-guru menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran untuk murid-murid supaya mereka tidak ketinggalan.
“Walaupun mereka tidak dapat melaksanakan aktiviti seperti pagi ini, tetapi mungkin daripada bahan itu mereka boleh baca,” jelasnya.
Seramai 240,498 orang murid bersekolah di 1,266 sekolah rendah di seluruh wilayah ini.
Jumlah tersebut merangkumi 32,765 murid yang didaftar untuk kemasukan ke tahun satu. – TVS