SIBU, 17 Feb: Kekuatan sesebuah parti politik terletak kepada kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan pemimpin dengan ahli.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setiap individu yang menyertai parti politik mesti mempunyai objektif sama sekali gus membawa perubahan positif kepada masyarakat dengan mengutamakan parti berbanding kepentingan peribadi.
Menurutnya, kepercayaan rakyat terhadap sesebuah parti akan berkurangan sekiranya tidak mempunyai kesepakatan yang akhirnya menyebabkan kejatuhan seperti yang berlaku di beberapa negara.
“Di India ada parti yang dipanggil Parti Kongres India sejak zaman Nehru (Jawaharlal Nehru) yang begitu lama memerintah India. Tetapi disebabkan masalah dalaman parti menyebabkan rakyat hilang kepercayaan dengan pemimpin.
“Mungkin salah satu sebabnya juga ialah ahli keluarga nya mengawal parti. Di Malaysia ada satu parti dan saya tidak mahu sebutkan yang dikuasai oleh bapa sehingga anak yang sekarang ini berlaku pergaduhan kerana transisi yang mahu mengubah budaya.
“Jadi kalau kita tidak ada kepercayaan maka parti kita akan menjadi lemah, sebab itu kita ada program latih mereka yang mudah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dalam memimpin negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Tahun Baru Cina Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya memimpin wilayah ini dengan sistematik dengan kepercayaan antara parti komponen juga kukuh.
Sementara itu, Abang Johari berkata, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) juga menjadi cabaran dan ancaman kepada kestabilan parti yang menimbulkan pelbagai propaganda.
“Saya berkongsi perkara ini dengan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), jangan nanti disebabkan teknologi (AI) ini anda akan melihat saya memakai baju PBB, menampakkkan muka dan mulut saya tetapi berkongsi mengenai ‘jangan sokong PBB’. Ini sesuatu yang teruk. Ini satu cabaran untuk kita” ujarnya.
Menurutnya, Sarawak kini berada di landasan yang tepat dari segi pembangunan seperti pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, pengambilalihan Maswings serta memiliki majoriti saham Affin.
“Saya turut berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana mengiktiraf Petros sebagai pengagregat tunggal gas,” jelasnya. – TVS